Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mahu UMNO supaya lebih berhati-hati dalam cadangan bergabung dengan Pas tanpa pengetahuan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau membidas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempelawa Pas untuk bergabung dan ia boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada komponen lain dalam BN.

Kata Ka Siong, Ahmad Zahid seharusnya hormat dan menyelami terlebih dahulu sentimen komponen BN yang rata-ratanya menolak perjuangan serta idealogi Pas sejak dahulu lagi.

“Sejak awal lagi malah berkali-kali sudah kita nyatakan nilai teras dan ideologi kita dengan Pas tidak sama, saya mohon sangat-sangat supaya lebih sensitif menghormati pendirian MCA dan parti komponen lain dalam BN.

“Saya akui UMNO mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan seperti yang dikehendaki oleh mereka untuk kepentingan parti tapi ingat juga kami masih lagi sebahagian daripada gabungan ini. Perasaan kami juga perlu dijaga.

“Tindak tanduk kamu (Ahmad Zahid) sangat mengecewakan. Kamu seolah-olah mengkhianati kita dalam komponen apabila menjemput mereka bergabung dengan UMNO,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas mengenai pelawaan terbuka Ahmad Zahid kepada Pas untuk bersama-sama mereka dalam gerakan politik pada satu majlis ceramah di Kampung Gajah, Perak, kelmarin.

Ahamd Zahid mengakui kesilapan mereka kerana bermusuhan dengan PAS selama ini dan bekas timbalan perdana menteri itu menyalahkan seorang ‘atuk’ atas permusuhan berkenaan.

“Selama 61 tahun UMNO memerintah, 22 tahun adalah di bawah kepimpinan beliau. Dia ajar kami membenci PAS, dia ajar kami membenci DAP tapi sekarang mereka sedang bercium mulut sesama sendiri,” ujarnya.

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengambil giliran berucap selepas Ahmad Zahid dikatakan tidak mengulas langsung mengenai pelawaan itu.

Tambah Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, beliau juga terasa hati kerana Abdul Hadi langsung tidak menyentuh tentang perkara tersebut.

“Mengapa mahu bercakap tentang bergabung apabila akhirnya ia menjadi seperti bahan gelak ketawa sahaja? Semangat BN adalah kerjasama dengan pelbagai kaum.

“Sekarang ini seperti golongan bukan Islam tidak penting lagi. Jadi, apa gunanya bercakap soal gabungan seperti ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri. SA Vigneswaran berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pas walaupun perjuangan serta idealoginya berlainan.

Kata Vigneswaran, pihaknya telah meneliti pelbagai perkara termasuk berbincang dengan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

“Mereka tidak pernah menghina masyarakat India, tidak pernah terlibat dengan perobohan kuil atau perkara-perkara lain yang mengganggu sensitiviti kami.

“Pada kami, demi survival, tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Pas sebenarnya. Dulu boleh sahaja DAP yang dahulunya pembangkang bekerjsamasa dengan Pas? Kini bekerjasama dengan Amanah, apa bezanya dengan Pas? Tidak ada masalah,” tegasnya. 

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/18/sudah-tiba-masa-umno-pas-bercantum/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast