Sebahagian siling kapur di ruang pameran Planetarium Melaka runtuh dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Ayer Keroh di sini hari ini.
Sebahagian siling kapur di ruang pameran Planetarium Melaka runtuh dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Ayer Keroh di sini hari ini.

MELAKA – Sebahagian siling kapur di ruang pameran Planetarium Melaka runtuh dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Ayer Keroh di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Planetarium Melaka Sdn Bhd, Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata dalam kejadian kira-kira 1.25 tengah hari itu, pusat pelancongan berasaskan pendidikan itu dibuka kepada orang awam namun tiada pengunjung ketika insiden berlaku.

Juga tiada pekerja premis itu yang terlibat.

Beliau berkata sejurus insiden tersebut berlaku, premis yang dirasmikan pada 2009 itu ditutup serta-merta sebagai langkah keselamatan awal kepada pengunjung dan pekerja.

“Saya telah membuat laporan polis dan bomba. Anggota bomba pun telah hadir ke lokasi untuk melihat tempat kejadian dan kita bersetuju bangunan Planetarium Melaka ini ditutup sementara sehingga siasatan pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai.

“Siasatan lanjut telah diserahkan kepada pihak bomba dan JKR.

Kenyataan seterusnya hanya akan dikeluarkan selepas siasatan selesai, katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hamdan Sudin berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.41 petang bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila dinding pada bahagian kubah premis itu runtuh dan menghempap bumbung serta siling.

“Akibat runtuhan itu, bahagian belakang ruang pameran mengalami kerosakan teruk apabila terkena struktur yang runtuh namun tujuh pekerja yang berada di dalam premis berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

— BERNAMA