LONDON – Pihak berkuasa Britain terus agresif melakukan pendedahan demi pendedahan apabila menyiarkan lebih banyak rakaman video berhubung kes dua suspek yang didakwa perisik Russia pada Mac lepas.

Kedua-dua suspek, Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov didakwa terbabit meracun Sergei Skripal dan anak perempuannya di Salisbury.

Apa yang mengejutkan, salah seorang suspek yang meracun bekas perisik Rusia, Sergei Skripal di Britain merupakan petugas perisik yang diangkat sebagai hero oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada tahun 2014, dakwa kumpulan penyiasat Bellingcat.

Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov1

Menurut kumpulan itu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai `Alexander Petrov’ sebenarnya adalah Alexander Mishkin – doktor tentera terlatih yang bertugas di perkhidmatan risikan tentera Moscow.

Pengasas Bellingcat, Eliot Higgins dan penyelidik, Christo Grozey memberitahu wartawan, mereka mendapati Mishkin menyertai operasi rahsia di Ukraine dan pemisahan Republik Transnistria.

Mereka mendakwa, Mishkin diangkat sebagai Hero Persekutuan Rusia oleh Putin pada musim luruh tahun tersebut.

Pihak berkuasa mendedahkan rakaman video menunjukkan dua lelaki tiba dan berkeliaran di Salisbury pada 4 Mac iaitu hari Skripal serta anaknya ditemui tidak sedarkan diri.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai menyalurkan lebih banyak maklumat dari sesiapa yang pernah melihat kedua-dua lelaki itu di Britain antara 2 hingga 4 Mac.

Mereka turut memohon orang awam jika terlihat botol pewangi terkenal jenama Nina Ricci tiruan.

Skripal dan anaknya, Yulia diracun menggunakan agen saraf Novichok di sebuah bandar England, Salisbury, Mac lalu. – MalaysiaGazette