Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap pada sidang mengenai kejayaan polis komersial Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket scam siber dan pinjaman tidak wujud di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya telah menerima laporan berkaitan pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, siasatan telah dibuka dan akan memanggil saksi dalam tempoh terdekat.

“Laporan tersebut menyatakan bahawa Ketua Audit Negara sekarang telah mengesahkan bahawa Bekas Perdana Menteri di dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016 telah mengarahkan Bekas Ketua Audit Negara untuk pinda laporan audit berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014 dan untuk mengugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

“Ketua Audit Negara sekarang juga menyatakan selepas pindaan dibuat atas arahan Bekas Perdana Menteri barulah naskah laporan dicetak pada 3 Mac 2016 dan diserahkan kepada Bekas Setiausaha Sulit Kanan Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia ekoran kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad semalam yang mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Madinah berkata laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.

Madinah yang memetik laporan Utusan Malaysia berkata, berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan audit 1MDB, Shukry pada 20 Februari 2016 telah meminta pasukan audit 1MDB untuk kemukakan laporan akhir pengauditan untuk dibincangkan bersama Najib.

Mesyuarat bersama Najib pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadiran bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Shukry dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa.

Dalam pada itu, siasatan mengenai dakwaan itu telah dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan semalam turut memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara. – MalaysiaGazette