Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau (BN), Khairy Jamaluddin melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan berlakunya pindaan dalam Laporan Audit Negara berhubung Development Berhad (1MDB) yang didedahkan sejak beberapa hari lepas.

Khairy mendedahkan, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak banyak melaporkan tentang isu 1MDB dan juga tentang kehadiran jutawan yang kini menjadi buruan, Jho Tek Low.

Bagaimanapun bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menyatakan adalah lebih baik tunggu terlebih dahulu laporan siasatan sebelum membuat apa-apa kesimpulan secara terburu-buru.

“Seandianya benar dakwaan Najib telah meminda maklumat berkaitan dengan 1MDB dan juga Jho Low, tidak ada apa yang lebih mengeewakan daripada ini kepada Barisan Nasional dan UMNO.

“Beliau juga tidak banyak mendedahkan berhubung 1MDB kepada Jemaah Menteri sebelum ini. Banyak yang kami sendiri tidak tahu. Walaupun ini adalah satu tindakan yang sangat serius, kita tunggu dahulu laporan siasatan ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Jelas Khairy, semalam Najib telah memberi penjelasan berhubung perkara itu dan mengesahkan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

“Jadi mengapa isu ini timbul? Kita tidak pasti mengapa Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menyatakan bahawa ada arahan untuk meminda laporan audit 1MDB tersebut.

“Ada sedikit percanggahan jawapan daripada mereka, kita tunggu dahulu laporan siasatan terlebih dahulu,” ujarnya.

Sementera itu, Khairy turut bersetuju tindakan meminda laporan Jabatan Audit Negara adalah sesuatu yang tidak tidak wajar dilakukan kerana badan tersebut bebas dan berkecuali.

“Tak boleh diarah untuk dipinda dan sebagainya. Saya sebagai bekas menteri pun banyak kali kementerian saya disiasat diaudit dan ditegur. Saya terima dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast