Tangkap layar video yang tular memaparkan sebuah kereta melanggar seorang lelaki sedang menolak basikal melintas Jalan Persiaran Indahpura Utama di Kulai, malam kelmarin.

KULAI – Seorang lelaki warganegara Myanmar maut dilanggar semasa menolak basikalnya melintas di Jalan Persiaran Indahpura Utama di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7.25 malam.

“Kemalangan tersebut melibatkan basikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios. Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bergerak di lorong kanan telah melanggar seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun.

“Lelaki Myanmar berkenaan secara tiba-tiba melintas jalan bersama-sama sebuah basikal. Akibat kemalangan itu penunggang basikal berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru,” katanya satu dalam kenyataan hari ini

Mangsa kemudian meninggal dunia pada pukul 7.22 pagi semalam sebelum mayatnya dibawa ke bilik mayat HSA untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed L 013-3063710.

Terdahulu video berkenaan kejadian tersebut tular dalam Facebook yang memaparkan sebuah kereta melanggar seorang lelaki sedang menolak basikal melintas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast