ALOR GAJAH – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 yang berlangsung bukan sahaja diserikan dengan pelbagai acara sukan dan kebudayaan malah mendapat maklum balas sangat positif daripada pengunjung yang rata-ratanya mahu program kemasyarakatan sebegini diteruskan sebagai acara tahunan.
Limpahan pengunjung yang memenuhi pesisir pantai seawal pagi membuktikan penganjuran pesta itu berjaya mencapai objektifnya dalam memeriahkan suasan komuniti, mengeratkan silaturahim serta merancakkan lagi ekonomi setempat.
Bagi peserta pertandingan memasak, Azrul Hairi tidak menyangka apabila cubaan pertamanya bersama rakannya Fazuli Ali menyertai pertandingan berkenaan membawa tuah apabila meraih tempat keempat daripada 20 peserta.

“Saya dapat maklumat mengenai pertandingan Memasak Ketam menerusi laman Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
”Bagi saya, Pesta Pantai ini sangat menarik kerana dapat mengeratkan ukhwah antara penduduk setempat dengan warga luar, selain menarik minat pelancong datang ke Tanjung Bidara.
”Bukan setakat pertandingan memasak, ada juga gubahan, sketsa, gerai jualan dan Karnival Kerjaya untuk mereka yang mencari peluang pekerjaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, penganjuran seperti itu diharap diadakan setiap tahun dan diteruskan pada masa akan datang.
Seorang lagi pengunjung dari Melaka, Ruhaidah Shadiki menganggap penganjuran pesta pantai kali ini amat berbaloi dan mengurangkan beban kewangan keluarga apabila pelbagai aktiviti sukan air serta permainan tradisi ditawarkan secara percuma.

“Saya bawa tiga anak saya seawal 7 pagi, beratur nak main semua acara pantai yang disediakan.
”Walaupun parkir agak jauh tapi kami tetap teruja kerana dapat menikmati pelbagai acara seperti banana boat, jet ski dan naik cruise secara percuma.
”Selalunya kalau nak main sukan air macam ni boleh mencecah RM200 seorang tapi hari ini semua percuma dan kami dapat main sampai puas dari pagi sampai ke petang,” katanya lagi.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi sekarang, program seperti ini dapat memberi ruang untuk mereka beriadah bersama keluarga.
“Terima kasih Ketua Menteri Melaka dan kalau boleh buatlah lagi setiap tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Intan Suraya Nasir turut senada menyifatkan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 sebagai platform terbaik dalam menghidupkan semangat antara masyarakat setempat.

”Saya berharap kehangatan penganjuran ini dapat dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri Melaka demi kebaikan penduduk tempatan.
“Macam permainan tradisional yang diadakan, semua anak-anak gembira. Ini masa untuk kita semua bersama-sama dapat luangkan masa,” katanya.
Pesta Pantai ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara.
Sejak awal pagi, beliau menyantuni rakyat dan meninjau sendiri pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang program berkenaan.


Tidak hanya itu, sukan-sukan tradisional turut diadakan seperti permainan gasing, dam haji dan congkak.

Apa yang pasti, Pantai Tanjung Bidara bukan sahaja meriah dengan pengunjung malah menjadi ruang pertemuan masyarakat bersama pemimpin dalam suasana lebih santai dan dekat dengan rakyat. – MalaysiaGazette
















