Saifuddin
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) bersama kakitangan kerajaan melihat barangan yang akan dijual pada ‘Happy Hours’ di Majlis Pelancaran Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) di Dewan Serbaguna KPDNHEP, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna atau (i-KeeP) akan menggantikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dalam menyediakan barang keperluan dengan harga murah dan berpatutan kepada rakyat memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif terbaharu itu dilancurkan secara rasmi oleh kerajaan.

Menurut beliau, KR1M yang sebelum ini melantik pasaraya besar Mydin sebagai penggerak utamanya dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300 juta oleh kerajaan dan membina premis baharu untuk meniagakan barang-barang.

“Namun model itu tidak mampan dan gagal membawa impak yang diharapkan dalam membela golongan berpendapatan rendah dan yang memerlukan.

“Oleh demikian KPDNHEP memperkenalkan nisiatif i-KeeP yang mempunyai sedikit perbezaan dengan modal lama (KR1M) yang diusahakan kerajaan terdahulu.

“Di bawah inisiatif i-Keep baharu ini, kami melantik enam rakan strategik antaranya Segi Fresh Cash and Carry Sdn.Bhd, KK Supermart, Pasaraya Big SuperMart, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (D’Mart), Tunas Mahnja Group (TMG Mart) dan Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad (SKOMK) dengan 364 outlet beroperasi serta merta berbanding 180 outlet KR1M sebelum ini,” katanya dalam sidang media mengenai pelancaran i-KeeP di sini.

Tambah beliau, i-KeeP akan menggunakan frasa ‘Harga Ekonomi Belian Terbaik’ sebagai tagline atau slogan dan visual logo i-KeeP akan dipaparkan dalam bentuk papan tanda dan pelekat serta akan diletakkan berasingan daripada papan tanda premis terlibat sebagai melengkapkan komposisi logo dan jenama inisiatif tersebut.

Justeru katanya, keenam-enam rakan strategik ini tidak disediakan sebarang peruntukan kewangan dari kerajaan Pusat dan mereka bersedia memberi kerjasama penuh menjual barang keperluan pada hargamurah dalam usaha menyokong dasar kerajaan demi manfaat rakyat berpendapatan rendah.

Saifudin memberitahu, kesemua rakan strategik itu dipilih dalam kalangan syarikat runcit yang sudah lama kekal dalam pasaran tempatan serta mempunyai modal yang kukuh dan berpengalaman menjual barang keperluan yang popular dan sentiasa menjadi pilihan harian rakyat.

“Maka tugas utama kerajaan ialah menyelaraskan garis panduan itu supaya teratur kerana dasar kerajaan ialah untuk membantu melegakan kos sara hidup rakyat.

Kerajaan berperanan dalam memastikan semua rakan niaga kami mesti dapat meniagakan barang keperluan pada harga runcit yang munasabah dan tidak mahu dijual mahal.

“Di saat barang-barang popular yang jadi keutamaan rakyat dimasukkan dalam sistem urusan i-KeeP, maka segala urusan akan berlaku di situ dan bukan di premis runcit yang tiada kaitan dalam program ini.

“Maka kerajaan juga akan memastikan bekalan tidak terputus pada waktu permintaan melambung tinggi dengan harga berpatutan yang disasarkan antara 3 hingga 20 peratus,” ujarnya.

Beliau juga yakin kaedah baharu i-KeeP ini membolehkan pertambahan outlet berkenaan bertambah secara agresif dengan mensasarkan 500 outlet menjelang 2020.

“Kalau boleh kerajaan mahu memastikan outlet barang berpatutan i-KeeP ini ada di setiap negeri supaya masyarakat di seluruh negara dapat menikmati limpahannya.

“Kalau i-KeeP jual murah itu bermakna demi kebaikan rakyat dan sekiranya operasi kerdai runcit lain yang tak terlibat dalam program ini, ia bermakna persaingan biasa sahaja.

“Rakan strategik yang berganding dengan KPDNHEP dalam program i-KeeP tidak perlu risau mengenai bekalan barangan,” katanya. – MalaysiaGazette