KUALA LUMPUR – Seandainya benar ada dalang di sebalik rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafields seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muyiddin Yassin maka pihak tidak bertanggungjawab itu mesti disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)

Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan berkata, siasatan polis yang mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kawasan kuil sebenarnya bukan sesuatu remeh.

Sebaliknya tegas beliau kepada MalaysiaGazette, ianya satu insiden yang menyebabkan rusuhan perkauman besar sehingga menggangu gugat keharmonian selain keselamatan negara dalam keadaan terancam.

“Dengan menggunakan orang upahan berbangsa Melayu masuk ceroboh kuil, mengugut, menyerang sehingga pertumpahan darah, demonstrasi sehingga membakar sentimen perkauman bukan satu perkara mudah atau boleh sesekali dimaafkan.

“Jangan cuba bela diri dengan mengatakan arahan mahkamah tidak dipatuhi maka anda boleh bertindak sesuka hati sehingga menyebabkan perbalahan antara kaum. Apakah ini sesuatu yang boleh kita tolak ansur?

“Jika anda katakan ini kerajaan baharu yang mengikut ‘rule of law’, saya mohon kepada pihak berkuasa supaya siasat mereka-mereka ini di bawah SOSMA. Jangan biar mereka ini terlepas begitu sahaja. Mereka tidak layak dimaafkan,” katanya.

Beliau mengulas insiden rusuhan di kuil USJ 25, Putra Heights sehingga menggemparkan negara apatah lagi pelbagai kejadian keganasan antara kaum terutamanya masyarakat Melayu dan India sejak awal pagi Isnin lepas.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.

Malah kata Mohan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara, Peguam Negara, Tommy Thomas juga perlu menggunakan pendakwaan yang sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada lain agar ianya tidak berulang pada masa kelak.

“Ini seolah-olah satu jenayah terancang serta terdesak bagi memastikan mereka mendapat kembali kuil tersebut selain daripada cubaan mengaburi umum dengan menggunakan isu perkauman. Jelas sekali, pemaju ini boleh melakukan apa sahaja.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga perlu bertindak tegas menarik kembali lesen pembangunan syarikat tersebut yang jelas sekali boleh membawa kepada keadaan kucar kacir jauh lebih teruk,” tegasnya.

Pihak pemaju juga, kata Mohan, digesa tampil memohon maaf dan berhenti daripada menafikan semuanya seolah-olah mereka tidak bersalah serta tidak tahu menahu tentang insiden itu.

Dalam pada itu, Mohan juga melahirkan rasa penghargaan kepada Muhyiddin dan semua pihak berwajib kerana berjaya merungkai kekalutan sejak beberapa hari ini dengan begitu cepat dan telus.

“Pada masa yang sama, saya mohon kepada semua supaya berhenti menyebarkan apa-apa yang boleh keruhkan keadaan. Cukuplah, sudah tiba masa untuk jernihkan suasana keruh ini dan bukan sebaliknya. Jangan hanya mahu menuding jari sebaliknya bersama-sama membantu menjaga keamanan serta perpaduan antara kaum,” katanya. –MalaysiaGazette