P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Selepas menyelar Exco Kerajaan Selangor, V. Ganabatirau – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi) juga mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Waytha Moorthy.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio perpaduan itu, menurut Presiden Srikandi, Datuk Norasyikin Abdul Ghani ternyata gagal melaksanakan tugasnya ekoran isu kuil Seafields Maha Mariamman baru-baru ini.

Lagi pun, Waytha ada rekod buruk kerana pernah mengeluarkan kenyataan negatif kepada orang Melayu termasuk video ceramahnya di Banting dan di Jerman yang tular sejak kebelakangan ini.

Norasyikin menegaskan, kerajaan sewajarnya tidak tunduk atau memberi peluang lagi kerana terbukti kegagalannya sebagai menteri menyatu padukan rakyat negara ini.

Katanya, semakin banyak bukti yang keluar menunjukkan pendirian Waytha masih sama iaitu menganggu gugat keamaan negara ini serta membangkitkan kemarahan rakyat.

Justeru beliau mahu Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan terhadap Waytha yang disifatkan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kerajaan wajib mengambil tindakan memecat beliau daripada menteri kerana ia memberi kesan buruk kepada parti pemerintah selain kesan buruk kepada keharmonian negara ini.

“Permohonan maaf tidak cukup, anda perlu letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norasyikin juga bersetuju dengan kenyataan peribadi, Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa Waytha tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

Sementara itu, mengenai isu ratifikasi ICERD, Srikandi menyokong perhimpunan membantahnya pada 8 Disember ini.

“Tetapi yang perlu ditentang ialah golongan yang bersetuju dan menyokong ICERD untuk dilaksana di negara ini kerana ia bercanggah Perlembagaan.

“Srikandi menyokong perhimpunan 8 Disember ini tetapi matlamat perhimpunan biar jelas kepada penentangan pemimpin yang menyokong dasar ICERD untuk dilaksana di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/27/srikandi-gesa-kerajaan-negeri-pecat-ganabatirau/