Alexis Sanchez
Alexis Sanchez sudah berhajat menyertai PSG pada Januar ini.

MANCHESTER – Alexis Sanchez dilaporkan berazam untuk meninggalkan Old Trafford akhir musim ini.

Bintang antarabangsa Chile itu dikatakan memasang impian menyertai Paris Saint Germain (PSG).

Akhbar tabloid The Mirror mendakwa Sanchez kecewa selepas diketepikan ketika skuad Jose Mourinho berdepan Young Boys dalam kempen Liga Juara Juara Eropah peringkat kumpulan pagi Selasa lepas.

Sanchez merupakan satu-satunya pemain berpendapatan 500,000 pound seminggu di Theatre of Dreams.

Mourinho kecewa berikutan prestasi hambar Sanchez musim ini.

Bagaimanapun Sanchez mempunyai harapan yang nipis untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama Manchester United ekoran tindakan pengurus itu.

Sanchez dikatakan kecewa selepas Mourinho tidak memberi peluang kepada pemain itu beraksi dalam skuad utama dengan pelbagai alasan selain mengutuk kecergasan fizikalnya.

Pemain berusia 29 tahun itu kini dikhabarkan mahu meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim sejuk Januari ini.

Sanchez juga dikatakan sudah membuat keputusan untuk berhijrah ke kelab juara Ligue 1 Perancis itu selepas menyedari tidak mempunyai masa depan di bawah bimbingan Mourinho.

Bekas pemain Arsenal itu dikatakan sudah memaklumkan rakan-rakan sepasukannya mengenai hajat untuk menyertai Neymar dan Kylian Mbappe.

Namun persoalannya apakah Sanchez mempunyai ruang untuk diisi dalam skuad gergasi liga Perancis yang dipenuhi pemain hebat dunia.

PSG ketika ini sedang berdepan masalah peraturan Pengurusan Kewangan Adil (Financial Fair Play) dan pendapatan Sanchez berkemungkinan meletakkan dirinya sukar untuk menyertai kelab itu berdasarkan situasi semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast