Wong Chen

KUALA LUMPUR – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) menegur cara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dilihat seringkali fokus kepada isu-isu jauh lebih remeh berbanding dibandingkan dengan perkara penting dalam bidang pendidikan.

Antara perkara yang perlu diberi keutamaan termasuk membaiki keadaan sekolah berbanding isu memperkenalkan kokurikulum belajar berenang yang memakan kos sehingga berbilion ringgit.

Menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (PH), isu-isu remeh seperti kolam renang sebenarnya tidak seharusnya menjadi kepentingan atau fokus utama yang perlu diberi begitu banyak ‘publisiti’.

“Sebenarnya, ada lagi isu-isu yang jauh lagi penting dan bukan remeh temeh seperti kolam renang atau perkara politik dalam dalam sektor pendidikan ketika ini.

“Isu membaiki sekolah ini tersangat penting. Bukannya susah sangat. Tak ada isu politik, tak ada isu tentang kolam renang, ia isu yang jelas yang memerlukan fokus penting.

“Jadi, saya meminta menteri memberi fokus yang lebih penting. Janganlah beri fokus kepada isu yang remeh-temeh seperti ini lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Kata Wong Chen lagi, sekurang-kurangnya peruntukan sebanyak RM19.3 juta diperlukan untuk kawasan Subang iaitu kawasan Parlimen yang terbesar di negara ini bagi membaik pulih keadaan sekolah.

Dedah beliau, pihaknya telah sudah menemui 31 buah daripada 52 buah sekolah di kawasan Parlimen dan mendapati semuanya sedang berdepan dengan pelbagai isu sejak dua bulan lepas.

“Masalah-masalah seperti paip bocor, anai-anai dan pelbagai lagi isu menghantui hampir semua sekolah-sekolah itu. Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Maslzee Jumaat lepas bagi menyampaikan tentang perkara ini.

“Hampir semua sekolah menghadapi pelbagai masalah, besar atau kecil yang wajar diberikan perhatian ketika ini. Cuba anda bayangkan, di Subang kawasan bandar yang ianya golongan berpendapatan sederhana, apa lagi kawasan luar bandar?

“Saya juga dimaklumkan banyak sekolah yang telah memohon dana untuk menyelesaian isu di sekolah masing-masing namun di tolak kerana kekangan dana. Saya mohon perhatian,” tegasnya.

Maszlee dikritik oleh pelbagai pihak kerana memberi cadangan terhadap pengusaha hotel untuk menawarkan kolam renang kepada pelajar sekolah untuk tujuan belajar berenang, sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Sebelum itu, Maszlee juga dikritik oleh pelbagai pihak susulan cadangan pelaksanaan pemakaian kasut dan stokin berwarna hitam kelak yang turut mendapat kecaman.

Hari ini beliau tampil pula dengan cadangan untuk memasukkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam silibus mata pelajaran Sejarah. –MalaysiaGazette