KUALA LUMPUR – Jika MCA menghormati rakan komponen yang masih setia dalam Barisan Nasional (BN), parti itu tidak patut membuat kenyataan mahu entiti induk kepada gabungan parti politik berusia 66 tahun itu dibubarkan.
Sebaliknya, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong harus menyedari BN bukan milik mutlak parti itu yang dimulai bersama UMNO dan MIC dalam Parikatan seawal 1952.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seharusnya juga perkara sedemikian dibincangkan secara musyawarah dan ada caranya untuk bagaimana mereka sama-sama mempertahan serta memperkasakan BN.
“Saya telah membaca kenyataan Ka Siong melalui media agar BN dibubarkan. Sejujurnya itu adalah kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan jika beliau masih menghormati rakan pimpinan parti komponen yang masih setia dalam BN seperti UMNO, MIC, My PPP dan PBRS.
“Seharusnya Ka Siong tahu BN bukan milik MCA secara mutlak walaupun mereka bersama UMNO seawal 1952 dalam Perikatan.
“Saya mengharapkan kenyataan begini tidak keluar dari pimpinan dalam BN kerana ianya boleh dibincangkan secara musyawarah dan ada caranya,” katanya yang menyifatkan kenyataan itu melambangkan keangkuhan MCA yang bertujuan hanya untuk menutup kelemahan sendiri.
Menurut Ismail Sabri, seharusnya sejarah bersama berjuang selama ini dilihat dalam konteks yang baik dan betul bukan semata menyalahkan UMNO atau BN.
Katanya, rasa tidak hormat itu dizahirkan MCA apabila tidak lagi menjemput Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai perasmi Persidangan Agung Tahunan ke-65 parti itu Ahad lalu.
Jelas beliau, parti kompenan lain juga tidak dijemput dan ini menjelaskan hala-tuju keputusan yang bakal dibuat oleh MCA dalam mesyuarat mereka.
“Dia mungkin lupa MCA hanya mempunyai satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Ini jelas apabila Ka Siong sendiri hanya menang majoriti 303 di kawasan Parlimen Ayer Hitam yang majoritinya Melayu iaitu 66.72 peratus.
“Jelas 31 peratus pengundi Cina tidak mengundi beliau dan ia sama dengan situasinya dua DUN dimenangi MCA iaitu DUN Cheka (Pahang) dengan majoriti 202 di kawasan 71.4 peratus majoriti pengundi melayu dan DUN Titi Tinggi (Perlis) yang mana calonnya menang dengan majoriti 142 undi di kawasan 77.8 peratus majoriti pengundi melayu.
“Tanpa bantuan dari UMNO dan komponen lain sudah pasti MCA tidak akan menang walau satu kerusi dalam PRU14 yang lalu,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, dari senario itu sepatutnya MCA membubarkan parti mereka dan menjenamakan semula agar boleh meraih kepercayaan kaum atau pengundi Cina, bukan mahu membubarkan BN kerana parti itu pastinya tidak ada hak.
Jelas Ismail Sabri, membubarkan BN harus dibincangkan dengan rakan komponen bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal.
Katanya, pada PRU 14 Mei lalu, MCA hanya mampu meraih undi Cina sebanyak 2.5 peratus, yang mencerminkan penolakan kaum mereka kepada MCA, bukannya kepada BN.
“Tanpa BN, tiga kerusi yang dimiliki MCA hari ini tidak akan wujud dan seharusnya mereka mendapatkan 20 peratus undi kaum Cina untuk memenangkan BN di banyak lagi tempat dan kawasan.
“Bagi BN, MCA adalah faktor utama kepada kekalahan entiti induk itu pada PRU 14 yang lalu, khususnya kawasan majoriti besar kaum Cina,” katanya. – MalaysiaGazette