Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan sedang memperhalusi cadangan program pemutihan terhadap pengusaha van persendirian yang tidak berdaftar serta tidak memiliki permit sah sebagai pengusaha van sekolah.

Menterinya, Anthony Loke berkata, cadangan pendaftaran itu perlu dilaksanakan selepas mendengar rintihan pengusaha bas sekolah yang mendapat impak daripada pengusaha van persendirian itu selain golongan itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Jelasnya, cadangan itu tidak melibatkan ibu bapa yang membawa anak-anak atau menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah menggunakan kenderaan persendirian.

“Kita bukannya menyasarkan golongan ibu bapa namun pemilik kenderaan persendirian terutama van yang menjadi van sekolah.

“Selain itu, terdapat kereta persendirian yang menjadi pengusaha dengan membawa pelajar-pelajar dengan jumlah yang ramai.

“Justeru golongan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian tidak bodoh untuk melaksanakan peraturan ke atas mereka.

“Jangan baca tajuk artikel sahaja dan terus membuat komen negatif yang mengkritik kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulan di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau tampil menjelaskan kenyataannya yang telah di salah anggap oleh golongan ibu bapa yang berpendapat mereka juga  perlu mendaftar kenderaan persendirian mereka kerana membawa anak-anak dan anak jiran ke sekolah.

Semalam, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan bakal melaksanakan program pemutihan terhadap pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar serta tidak mempunyai permit sah, selewat-lewatnya tahun depan.

Beliau berkata, pelaksanaan itu bagi memastikan setiap perusahaan bas sekolah mempunyai permit pengusahaan yang sah selain memastikan pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan mereka dilindungi insurans.

Mengulas lanjut, Anthony mekanisme yang dirancang kemungkinan akan sama dengan e-hiring di mana pengusaha van dan kereta persendirian perlu mematuhi beberapa syarat untuk membawa pelajar sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast