KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tidak berhasrat untuk membatalkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia sebaliknya ia ditangguhkan ke Ahad ini pada masa dan lokasi yang sama.
Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, ini kerana program tahunan Suhakam itu bukan satu perhimpunan aman dan ia tidak memerlukan kebenaran daripada mana-mana pihak khususnya pihak berkuasa.
“Suhakam amat dukacita kerana penangguhan itu berlaku. Suhakam tidak terikat kepada mana-mana pihak untuk meminta kebenaran teruitamanya pihak polis apa yang perlu kita buat.
“Kita ada badan yang diberi mandat oleh Parlimen melakukan sesuatu perkara secara bebas dan Hari Hak Asasi Manusia bukan satu perhimpunan aman seperti mana yang didakwa oleh kumpulan anti-ICERD.
“Oleh kerana itu kita akan teruska sambutan Hari Hak Asasi Manusia itu pada Ahad ini, sehari selepas Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di lokasi dan masa yang sama,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suhakam, di sini, hari ini.
Terdahulu Razali dalam kenyataan medianya hari ini berkata, Suhakam terpaksa membatalkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan pada 8 Disember di Padang Timur, Petaling Jaya dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
Razali dalam kenyataan itu juga berkata, pihaknya dimaklumkan pihak polis bahawa pembatalan program itu terpaksa dibuat susulan wujudnya ancaman keselamatan lebih-lebih lagi melibatkan kehadiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Razali juga berkata, pihak sangat kecewa dengan penangguhan itu kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan hak asasi manusia seolah-olah tunduk kepada tekanan daripada pihak tertentu.
“Ini Malaysia baru, kita tak perlu dengar semua ini (tekanan perkauman), bila saya tanya tentang risiko keselamatan yang pihak polis nyatakan, tapi tiada jawapan.
“Saya tanya pejabat perdana menteri pun mereka tak boleh beri jawapannya. Bila ia melibatkan keselamatan Perdana Menteri, kita bersetuju untuk menangguhkannya tapi kita masih tidak gembira,” katanya.
Ditanya tentang kehadiran Perdana Menteri pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia pada Ahad, beliau berkata, semua jemputan yang dibuat sebelum ini akan diteruskan termasuk D Mahathir.
“Bulan ini Tun Mahathir lapang dan sebab itu kita tetap meneruskan perhimpunan ini supaya Perdana Menteri dapat hadir nanti,” katanya.
Razali turut menegur pihak media yang melaporkan secara salah bahawa wujudnya pertembungan dua kumpulan perhimpunan aman pada Sabtu ini sedangkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia bukan satu demonstrasi.
“Media tidak sepatutnya melaporkan wujudnya dua kumpulan untuk berhimpun Sabtu ini sedangkan program Suhakam bukan demonstrasi
“Tidak pernah program Suhakam diancam keselamatan sebaliknya hari ini diancam dan ia sangat mengecewakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette