Datuk Dr Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berucap pada Ucapan Dasar Presiden PERKASA sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-9 Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Tahun 2018 di Hotel Regency, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia hari ini menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak tergesa-gesa memansuhkan undang-undang penjajah yang dianggap menzalimi rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kerajaan perlu mengkaji semula langkah itu khususnya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan hukuman mati.
“Saya gesa kerajaan tidak tergesa-gesa untuk bawa cadangan pemansuhan akta yang dianggap zalim ini.
“Patut kerajaan kena segerakan usaha untuk menangani kos sara hidup.
“Rakyat rasa tersinggung bukan kerana janji tak tertunai tapi ada perkara tak perlu gopoh dan kalau tidak PH hanya ada satu penggal saja.
“Kalau PH dengar gesaan saya, mereka mungkin lebih banyak penggal boleh memerintah negara,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.
Beliau mengulas usaha Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mewujudkan satu jawatankuasa untuk mengkaji undang-undang keselamatan.
Penubuhan jawatan kuasa itu selaras dengan manifesto Kerajaan PH dalam PRU14 berkaitan pemansuhan dan pindaan beberapa undang-undang.
Beliau juga berkata, akta draconian itu perlu dikekalkan kerana keadilan mangsa dan keluarganya juga mempunyai hak di atas kehilangan nyawa akibat jenayah pembunuhan. 
 
“Hujah bahawa hukuman mati perlu berdasarkan kepada Hak Asasi Manusia dan aspek kemanusiaan.
“Tapi mangsa juga ada hak kemanusiaan, akibat pengedaran dadah dan jenayah terancang, berlaku kematian mangsa,” katanya.

Katanya lagi, lebih malang apabila Majlis Peguam dan Lawyer’s for Liberty serta pejuang hak asasi manusia sedang mempengaruhi kerajaan untuk memansuhkan akta berkenaan.

“Ada juga pihak berkata boleh kekalkan hukuman mati dengan syarat mansuhkan perkataan mandatori.
“Saya tak setuju dengan cadangan ini menyebabkan hakim dalam keadaan sukar ketika buat keputusan.
“Kalau kita mansuhkan hukuman mati ia akan galakkan orang lakukan jenayah.
“Saya ambil isu ini atas prinsip keadilan dan hak asasi manusia perlu diberi kepada mangsa dan keluarga mangsa yang dibunuh,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan menjalankan pungutan suara atau referendum daripada orang ramai sebelum akta draconian itu dimansuhkan.
“Saya mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau kerajaan PH dalam tekanan, kenapa tidak buat referendum daripada orang ramai dalam dua isu ini
“Kerajaan boleh gunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pungutan suara ini,” katanya.
Bagi tujuan itu katanya lagi, Perkasa sedang menjalankan petisyen secara dalam talian menggesa hukuman mati dikekalkan.
“Setakat ini, petisyen Perkasa sudah mencecah 15,000 orang dan kita akan mengumpulkan lebih banyak sokongan ke arah itu.
“Kita harap usaha ini dapat menyedarkan kerajaan bahawa pungutan suara sangat penting sebelum mereka memansuhkan akta yang dianggap zalim itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette