Tajuddin Abdul Rahman
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) tidak tahu menahu tentang sejarah, corak serta budaya majmuk Malaysia secara mendalam.

Tajuddin berkata, tanpa melakukan kajian yang lebih mendalam, pertubuhan dunia itu hanya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) apabila cuba menyamakan Malaysia dengan negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Turki.

“Adakah mereka tahu tentang kedudukan negara kita? PBB tidak boleh samakan kita dengan negara Islam lain seperti Arab Saudi. Kata PBB, banyak negara Islam sudah meratifikasi ICERD.

“Adakah kita sama? Kita ada ‘pecularity’ (keunikan) sebagai Melayu, Pribumi dan Bumiputera yang beragama Islam. Kita juga ada kaum-kaum lain yang merupakan ‘pendatang’ ketika zaman kolonial Inggeris menjajah.

“Penjajah Inggeris ini bawa masuk penoreh getah, pelombong, beratus-ratus tahun dahulu, ketika kita hendak mencapai kemerdekaan, kita diminta untuk terima kaum lain, orang Melayu baik dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Ketika kemerdekaan lagi, sudah ada lebih sejuta orang kaum lain. Walau bagaimanapun, kita ada ‘kontrak sosial’ antara Bumiputera dan juga yang bukan, tentang hak kita. Semuanya ada termaktub dalam Perlembagaan juga.

“Adakah PBB tahu semua ini ? Mengapa mahu masuk campur urusan kita? Mereka mahu ratifikasikan ICERD tanpa melihat perbezaan hak antara yang bumiputera dan bukan. Saya bagi contoh, anda tidak kenal saya tapi sibuk hendak masuk campur hal saya, anda faham bukan?

“Kita semua tahu siapa yang menguasai PBB, orang barat yang pernah menjajah kita. Sekarang mahu menjajah kembali, mengapa kita mahu beri peluang itu? Ini penjajahan bentuk baru dari barat yang tidak seharusnya diterima,” katanya kepada pemberita di lobi.

Sabtu lepas, ketika himpunan #812 bantah ratifikasi ICERD, Tajuddin mengutuk PBB yang didakwanya cuba mencabuli kemerdekaan negara ini.

Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!” katanya.

Kata Tajuddin, pihak luar mahu memaksa Malaysia menerima ICERD agar mereka boleh mengenakan syarat-syarat tertentu bagi mengawal rakyat di negara ini.

“Mereka nak kuasai sosial kita, budaya kita, minda kita dan politik kita,” dakwanya.

Dalam pada itu, Tajuddin mempertahankan tindakan mengeluarkan kenyataan ‘pergi jahaman’ itu dengan mengatakan jangan memandai untuk mencampuri urusan sesebuah negara jika tidak faham dengan sejarahnya.

“Anda nampak sendiri apa yang berlaku Sabtu lepas? Ini yang saya maksudkan dalam ucapan hari Sabtu lepas. Jangan main-main dengan sebuah negara yang anda tidak faham langsung.

“Kita masih hidup dengan muhibah dan bersatu bawah satu bumbung walaupun ada perbezaan dari segi hak.

“Kalau boleh saya cadangkan supaya PBB datang berdialog dengan kita supaya kita boleh sekolahkan mereka tentang asal usul kita ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette