Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencadangkan kerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu wajar kerana dua kerusi tersebut dikosongkan PH bagi memberi laluan kepada MUDA bertanding dalam PRU dan PRN sebelum ini.

Jelasnnya, MUDA ketika itu adalah rakan sekutu politik kepada PH semasa PRU dan PRN yang kedua-duanya berlangsung pada tahun 2022.

“Tuntutan ini berasas apabila pengundi di kedua kerusi berkenaan tidak mempunyai pilihan lain memandangkan PH tidak bertanding dan gelombang sokongan telah beralih kepada parti yang dikatakan mewakili PH iaitu MUDA bertanding di kerusi berkenaan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan dan keputusan terbaharu MUDA yang mengambil langkah untuk tidak lagi bersama kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

“Kedua-dua kerusi tersebut dianggap sebagai kerusi yang kosong untuk mana-mana parti boleh bertanding,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, cadangan Amanah Johor itu adalah bagi menjaga keharmonian gabungan antara PH dan Barisan Nasionl (BN) di Johor.

“Amanah Johor sekali lagi memaklumkan bahawa perkara ini perlulah diselesaikan dalam keadaan yang baik supaya mengelakkan pertindihan kerusi boleh berlaku pada PRU atau PRN akan datang yang mana ia akan menguntungkan pihak lawan,” katanya.

MUDA pada 10 September tahun lalu secara rasmi menarik diri daripada menyokong kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan menjadi pembangkang kuasa ketiga.

Antara sebab tindakan itu adalah keputusan Peguam Negara yang mendorong keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebas Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast