KUALA KANGSAR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar Datuk Adly Shah Ahmad Tah, bersama lapan daripada 11 cawangan bahagian itu mengumumkan keputusan meletakkan semua jawatan dan meninggalkan parti berkenaan.
Adly Shah berkata cawangan yang terlibat ialah Bunga Raya, Ulu Kenas, Sayong Lembah, Bendang Kering, Senggang, Jerlun, Bukit Residen dan Lempor.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perjuangan politik serta masa depan masyarakat di Kuala Kangsar yang menurutnya perlu diteruskan melalui wadah yang lebih diyakini.
Menurut Adly Shah, pihaknya melihat Bersatu ketika ini gagal mengembangkan parti seperti yang diharapkan, selain keahlian dan sokongan terhadap parti semakin mengecil.
“Selepas keputusan ini dibuat, Bersatu Bahagian Kuala Kangsar kini hanya akan diwakili oleh tiga daripada 11 cawangan manakala Setiausaha Bahagian Bersatu Kuala Kangsar Abd Hadi Sabri turut mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.
“Selain itu, lebih 100 anggota Bersatu Kuala Kangsar turut hadir hari ini bagi menyatakan pendirian yang sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Adly Shah berkata pihaknya berpandangan keadaan itu akan memberikan kesan besar terhadap kekuatan serta relevansi Bersatu dalam perjuangan politik di Kuala Kangsar. – BERNAMA















