Sathiah bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada PAU 2026 .

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh penyatuan Melayu dan Islam tidak seharusnya menyebabkan kaum lain berasa dipinggirkan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada usaha membina Malaysia yang lebih bersatu, kata Ketua Belia PPP Malaysia, Sathiah Sudakaran.

Beliau berkata, ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2026 membawa mesej penting bahawa membela Melayu tidak bermaksud memusuhi bukan Melayu, manakala memartabatkan Islam tidak bermakna menafikan hak penganut agama lain.

Menurut Sathiah, penyatuan sesuatu kaum tidak wajar dibina atas ketakutan kaum lain, begitu juga usaha memperkasakan sesuatu komuniti tidak sepatutnya dilakukan dengan melemahkan komuniti yang lain.

“Malaysia hanya akan menjadi lebih kuat apabila Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah dan Sarawak serta seluruh rakyat Malaysia dapat bergerak bersama dengan rasa saling menghormati dan mempunyai keyakinan bahawa setiap daripada kita mempunyai tempat dalam masa depan negara ini,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, semangat itu selari dengan asas perjuangan BN apabila parti komponennya mempertahankan identiti serta aspirasi masyarakat masing-masing, namun tetap bertemu pada titik yang sama apabila membabitkan kepentingan Malaysia.

Katanya, generasi muda BN perlu membuktikan bahawa perjuangan terhadap kaum dan agama masing-masing boleh dilakukan tanpa menjadi perkauman atau menghina kepercayaan pihak lain.

Sathiah turut menyambut baik penekanan Dr Muhamad Akmal supaya Pemuda BN berani menjadi suara semak dan imbang serta dinilai berdasarkan kerja dan khidmat kepada rakyat, bukannya sekadar retorik politik.

Menurutnya, cadangan berkaitan kebajikan pekerja p-hailing, perumahan pasangan muda, taska, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta perlindungan kebajikan keluarga menunjukkan agenda anak muda perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang benar benar memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sayap Pemuda UMNO, Belia PPP, MCA, MIC dan PBRS duduk bersama membentuk Agenda Belia BN yang memberi tumpuan kepada pekerjaan bergaji tinggi, TVET, keusahawanan, pemilikan rumah, pendidikan, kos sara hidup dan mobiliti sosial.

“Kita tidak boleh hanya bersatu apabila pilihan raya semakin hampir. Kita mesti bersatu ketika rakyat memerlukan penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here