KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 keluarga rakyat Malaysia yang terjejas dalam bencana di Nepal dilaporkan masih menunggu kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan insan tersayang mereka selepas lebih dua minggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, tempoh berkenaan terlalu lama untuk keluarga terus berada dalam ketidakpastian tanpa penjelasan yang jelas, sahih dan berterusan daripada kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Luar Negeri tampil memberikan penjelasan segera mengenai status terkini rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk jumlah yang sudah disahkan selamat, cedera, hilang atau masih belum dapat dikesan.
“Lebih dua minggu adalah tempoh yang terlalu lama untuk sebuah keluarga terus hidup dalam ketidakpastian. Mereka berhak mendapat jawapan terus daripada Menteri yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gunaraj turut mahu Kementerian Luar Negeri menjelaskan tindakan yang sedang dilaksanakan di Nepal bagi mengesan dan membantu rakyat Malaysia terbabit, termasuk pegawai yang menyelaras operasi di lapangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa negara itu.
Menurutnya, jika usaha mengesan masih berjalan, keluarga perlu dimaklumkan mengenai tindakan yang telah diambil, kekangan yang dihadapi dan langkah seterusnya.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai bantuan yang diberikan kepada 55 keluarga terbabit, termasuk bantuan kebajikan, kewangan, kaunseling serta sokongan mendapatkan maklumat.
Dalam pada itu, Gunaraj merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan tindakan kerajaan termasuk usaha menggerakkan pasukan SMART bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
Bagaimanapun, katanya, perhatian dan arahan di peringkat tertinggi kerajaan perlu diterjemahkan kepada tindakan pantas serta komunikasi yang jelas dan berterusan kepada keluarga.
Gunaraj menegaskan perkara itu bukan isu politik, sebaliknya isu kemanusiaan kerana keluarga terbabit sedang menunggu berita mengenai insan yang mereka sayangi.
“Jika maklumat masih belum dapat disahkan, jelaskan. Jika usaha mencari masih berjalan, terangkan tindakan yang sedang diambil. Tetapi berdiam diri bukan jawapan,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Luar Negeri perlu tampil memberikan penjelasan kepada keluarga dan rakyat Malaysia kerana mereka berhak mendapat jawapan serta sokongan kerajaan dalam menghadapi keadaan berkenaan. – MalaysiaGazette
















