KUALA LUMPUR – UMNO kecewa sekiranya terdapat campur tangan atau permainan politik di sebalik isu pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail bagaimanapun menegaskan, UMNO tetap akur dan menghormati apa sahaja keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, institusi Raja-Raja Melayu merupakan antara asas perjuangan UMNO dan parti itu tidak akan mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kita akur. Ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong. Kalau Yang di-Pertuan Agong sudah titah, kita tunggu sehingga tarikh berikutnya yang akan ditentukan, jadi kami tunggu.
“Selebihnya, bagi pihak saya, saya serahkan 100 peratus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Fariz Hazurin berkata, apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah sekiranya terdapat pihak tertentu yang cuba memanipulasi atau campur tangan dalam isu berkenaan.
“Tapi andai kata jika ini adalah sebahagian daripada permainan helah di sebelah sana, sudah pastinya kami kecewa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO merupakan parti yang mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan melihatnya sebagai benteng utama institusi berkenaan.
Beliau turut memberi peringatan supaya isu membabitkan institusi diraja tidak dijadikan bahan permainan politik.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan ucapan dasar Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai paling luar biasa dan antara ciri-ciri seorang bakal Perdana Menteri.
Katanya, mesej disampaikan Ahmad Zahid tahun ini merupakan jawapan kepada perkara yang selama ini menjadi perhatian akar umbi parti.
Menurut beliau, ucapan Ahmad Zahid mempunyai “wow factor” yang jauh lebih kuat berbanding sebelum ini.
Katanya, sebagai ahli parti, beliau melihat ucapan berkenaan memenuhi perkara yang mahu didengar oleh akar umbi UMNO.
Beliau berkata, PAU 2026 bukan sekadar medan untuk pemimpin menyampaikan dasar, sebaliknya ruang untuk ahli parti meluahkan keresahan, harapan dan perkara yang mahu dijawab kepemimpinan.
“PAU2026 ini semuanya tentang luahan hati ahli parti. Jawapan daripada pemimpin parti.
“Kami luahkan apa yang kami nak, kami usul dan jawapannya kami terima daripada ucapan penggulungan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Fariz Hazurin, mesej yang dibawa Ahmad Zahid tahun ini dilihat lebih dekat dengan apa yang dirasai serta diharapkan ahli parti.
Katanya, UMNO sebagai parti Melayu yang mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan kemerdekaan mempunyai perlembagaan antara lain mendukung institusi Raja-Raja Melayu.
“Jadi kalau kita nak tahu siapa bakal Perdana Menteri, pastikan bakal Perdana Menteri itu ada semua ciri-ciri yang disebutkan oleh Datuk Seri Presiden UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















