Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 8 Sept oleh Menteri-Menteri Luar dua belas negara Barat berhubung langkah-langkah yang diambil terhadap petempatan haram Israel.

Beliau berkata langkah tersebut mencerminkan perubahan yang sudah lama tertangguh dalam pendekatan beberapa negara Barat dan kini perlu disusuli pelaksanaan yang tegas.

“Negara-negara ini perlu menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi mereka yang besar ke atas Israel untuk mendesak supaya perluasan petempatan dan pemindahan paksa dihentikan selain memastikan akauntabiliti bagi kemusnahan yang dialami Gaza serta akses kemanusiaan tanpa halangan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau secara khusus mengambil maklum bahawa Britain, Kanada dan Perancis akan memperkenal langkah-langkah bagi menyekat perdagangan barangan dari kawasan petempatan haram Israel sekali gus menyertai beberapa negara Eropah yang telahpun mengambil langkah sedemikian.

“Saya juga mengiktiraf kepentingan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Luar Britain Ed Miliband di Dewan Rakyat negara berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata United Kingdom kini secara rasmi mengiktiraf ketidakabsahan pendudukan Israel secara keseluruhan selain mengakui bahawa pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin sedang berlaku di beberapa kawasan di Tebing Barat oleh pihak yang disebut dengan tepat oleh Miliband sebagai “peneroka yang melakukan keganasan”.

“Ini adalah pengiktirafan penting yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan realiti yang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.

Anwar juga berkata beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya berganjak daripada sekadar mengeluarkan kenyataan dan melakukan langkah-langkah konkrit serta mengikat bagi menegakkan undang-undang antarabangsa, melindungi hak rakyat Palestin selain mewujudkan keamanan yang adil serta berkekalan di Asia Barat.

Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden dan UK mengesahkan hasrat mereka untuk memperkenal sekatan peringkat kebangsaan dan/atau menyokong sekatan Eropah terhadap perdagangan barangan dengan petempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa, atau sedang menimbang langkah-langkah ini dan langkah-langkah lain secara aktif selaras dengan prosedur negara masing-masing. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here