BANDARAYA GAZA/ISTANBUL – Seramai 22,000 rakyat Palestin yang cedera dan sakit di Semenanjung Gaza memerlukan rawatan di luar negara dengan kadar segera, kata Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza Ismail al-Thawabteh kepada Anadolu Ajansi pada Khamis.
Beliau mahu semua lintasan sempadan dibuka sepenuhnya bagi membolehkan 1,000 pesakit dipindahkan keluar setiap hari.
Kenyataan beliau itu sebagai respons terhadap angka yang dikeluarkan Israel mengenai pergerakan rakyat Palestin melalui lintasan sempadan Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober lepas.
Portal berita Times of Israel sebelum ini memetik Pihak Berkuasa Lintasan Sempadan Israel yang menyatakan kira-kira 10,500 orang meninggalkan Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, menurut Anadolu.
Laporan itu menambah bahawa 6,000 orang kembali ke Gaza dalam tempoh berkenaan.
“Angka yang diterbitkan pihak pendudukan Israel mengenai 10,000 rakyat Palestin yang keluar dan 6,000 lagi yang kembali sejak Oktober adalah sangat rendah dan tidak memenuhi tahap minimum keperluan kemanusiaan yang amat kritikal di Semenanjung Gaza,” kata al-Thawabteh.
“Angka itu merupakan percubaan untuk mengindahkan gambaran realiti getir di Gaza, sedangkan 22,000 orang yang cedera dan sakit memerlukan rawatan di luar negara, termasuk ribuan kanak-kanak yang keadaan kesihatan mereka semakin merosot setiap hari,” katanya.
Al-Thawabteh menuduh Israel melaksanakan dasar “sengaja melengah-lengahkan dan menyebabkan kematian secara perlahan-lahan” terhadap pesakit dengan menyekat pemindahan perubatan.
Beliau mahu semua lintasan dibuka sepenuhnya dan serta-merta bagi memastikan 1,000 orang yang cedera dan sakit dipindahkan keluar setiap hari untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
Beliau turut menggesa supaya tuntutan dan hak kira-kira 90,000 rakyat Palestin yang berada di luar Gaza dan sedang menunggu untuk kembali ke wilayah itu dipenuhi.
Al-Thawabteh menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengenakan tekanan serius terhadap Israel agar berhenti menggunakan lintasan sempadan berkenaan “sebagai alat hukuman kolektif” serta memudahkan prosedur “tanpa kerumitan keselamatan yang meragut nyawa pesakit”.
“Dasar sengaja mengehadkan jumlah mereka yang dibenarkan keluar sedikit demi sedikit bercanggah dengan segala undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan serta sama sekali tidak boleh dianggap sebagai tindak balas terhadap krisis kesihatan dan kemanusiaan yang amat teruk di Semenanjung Gaza,” katanya.
Pada akhir Ogos, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ribuan pesakit di Gaza masih menunggu pemindahan perubatan bagi mendapatkan rawatan segera.
Dalam hantaran di X, Tedros berkata WHO membantu pemindahan 106 pesakit termasuk 19 kanak-kanak melalui lintasan sempadan Rafah dan Kerem Shalom pada minggu terakhir Ogos, dengan mereka diiringi 132 orang.
Serangan genosid Israel di Gaza menyebabkan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, dengan ramai daripada mereka berlindung di pusat perlindungan sementara dan khemah di seluruh wilayah itu.
Sejak 8 Okt 2023, Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan genosid di Gaza, mengakibatkan lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 174,000 cedera, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu.- BERNAMA-ANADOLU
















