SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjawab secara jelas beberapa persoalan yang dikemukakan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) pada program Meet Anwar:Dialog bersama pelajar UPM yang berlangsung di sini malam ini.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu sebaliknya menjawab soalan-soalan tersebut secara ringkas tanpa memberikan butiran terperinci.
Misalnya soalan mengenai sama ada beliau akan meningkatan pemberian biasiswa kepada para pelajar apabila menjadi perdana menteri kelak tidak diulas dengan memuaskan.
Berdasarkan pemerhatian, ahli Parlimen Port Dickson itu turut menjadikan pentas dialog dengan mahasiswa untuk menghentam kerajaan terdahulu dengan membuka perihal kisah berkaitan 1MDB.
Perjalanan program menjadi semakin hambar di akhir majlis apabila peserta tidak lagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada sesi dialog tersebut berkemungkinan ekoran kandungan jawapan Anwar yang gagal menarik perhatian mereka.
Bagaimanapun, Anwar tetap menjawab soalan yang diutarakan meskipun diasak dengan soalan-soalan yang agak kontroversi.
Terdahulu, mahasiwa yang hadir dibenarkan oleh pihak penganjur untuk menanyakan sebarang soalan asalkan ia tidak menimbulkan sebarang salah faham mahupun ketegangan.
Antara soalan yang ditanyakan oleh peserta pada program tersebut iaitu isu berkaitan Pinjaman Tabung Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), had umur mengundi 18 tahun, ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), politik kampus dan beberapa soalan berkaitan isu-isu semasa.
Seramai 4,000 pelajar dari pelbagai fakulti memenuhi ruang dewan besar universiti berkenaan dan dialog itu turut dihadiri Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.
Program selama dua jam yang bermula pukul 9 itu ditamatkan tepat jam 11 malam. – MalaysiaGazette