JOHOR BAHRU – Parti politik yang sudah melakukan kesalahan perlu memohon maaf bukan berusaha menegak benang yang basah.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan menasihatkan semua pihak supaya rasional dan berpolitik secara matang bukan menanam kebencian dalam kalangan pengikut.
“Sekiranya terdapat kekhilafan dalam sesuatu perkara segeralah memohon maaf bukan sibuk menegakkan benang yang basah yang akhirnya memalukan diri sendiri.
“Jangan timbulkan kesangsian rakyat terhadap ketelusan dan kebaikan pemimpin khususnya wakil rakyat mahupun ahli politik di negara ini oleh kerana segelintir daripada kita yang kurang beretika.
“Kebijaksanaan ahli politik bukan terletak kepada sijil kelulusan yang tinggi sahaja malah harus diukur daripada segi tutur kata sopan serta adab dan akhlak sesama manusia,” katanya dalam kenyataan.
Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang mengaitkan Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah fitnah dan dibuat dengan niat jahat.
Sebelum ini, tiga pemimpin DAP itu menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh mereka pada 27 November tahun lalu.
Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, Siti Mastura telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura telah mempertahankan kenyataannya itu bahawa ia dibuat berdasarkan kebenaran dan fakta.
Mengulas lanjut, Aminolhuda berduka cita dengan isu tersebut dan seharusnya budaya menfitnah dihentikan segera demi menjaga nama baik ahli politik mahupun agama Islam.
Pihaknya, kata beliau, memandang serius mana-mana pihak khasnya golongan cendikawan agama yang membenarkan fitnah disebarkan demi kepentingan diri sendiri atau kumpulannya.
“Kami turut menempelak tindakan sesetengah pemimpin yang berhujah atau memberi pandangan berdasarkan emosi mengakibatkan setiap kata-kata mereka menjadi suatu fitnah sehingga menjadi pegangan dan keyakinan kepada pengikut-pengikutnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette