KUALA LUMPUR: Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berakhir semalam telah memberikan hala tuju jelas buat parti itu.
Menurutnya, ukuran sebenar selepas ini bukan sekuat mana perwakilan bertepuk tangan di dalam dewan, sebaliknya diterjemahkan dengan sekuat mana mereka bekerja apabila kembali ke kawasan.
Sehubungan itu, beliau menggesa para perwakilan membawa pulang semangat itu ke Bahagian, Cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan komuniti masing-masing.
Ujarnya, ucapan pada PAU 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan, resolusi kepada gerakan dan semangat kepada keputusan.
“PAU 2026 sudah melabuhkan tirainya. Sekarang, kerja sebenar bermula. Kita tidak mahu UMNO menang kerana lawan lemah.
“Kita mahu UMNO menang kerana UMNO memang layak untuk menang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Terdahulu, Nurulhidayah berkongsi mesej yang dapat dibawa pulang selepas berakhirnya PAU 2026 yang disifatkan beliau sangat jelas.
Antaranya, kata beliau, adalah berkenaan Tekad 16 yang bukan sekadar akronim yang sedap disebut di pentas, sebaliknya mesti menjadi gerak kerja.
“Teguhkan Parti. Pulang dan satukan saf. Hentikan politik sesama sendiri yang hanya menghabiskan tenaga. PRU16 tidak akan dimenangi jika kita masih sibuk mencari siapa yang hendak dijatuhkan dalam rumah sendiri.
“Eratkan Saf. BN mesti bergerak sebagai satu keluarga dan satu pasukan. Tidak ada kemenangan jika kepimpinan bergerak ke kanan tetapi akar umbi bergerak ke kiri.
“Kuasai Medan. Pertarungan politik hari ini bukan hanya di bilik gerakan dan pentas ceramah. Ia berlaku setiap saat di telefon rakyat. Data, PDM, isu, komunikasi, media sosial dan jentera mesti dikuasai sekarang, bukan apabila Parlimen dibubarkan.
“Anjalkan Strategi. Politik tidak lagi boleh menggunakan satu formula untuk semua tempat. Baca sentimen rakyat, fahami kekuatan setiap kerusi dan buat keputusan berdasarkan realiti bukan emosi.
“Dekati Rakyat. Jangan hanya datang apabila mahukan undi. Dengar apa yang mereka susahkan, fahami apa yang mereka perlukan dan hadir dengan penyelesaian yang boleh dirasai,” katanya. – MalaysiaGazette
















