Cubaan seludup 33 warga Indonesia melalui perairan Port Dickson gagal.

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk 33 warga Indonesia melalui laluan laut yang tidak diwartakan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Port Dickson menerusi Op Benteng dan Op Tiris, malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu hasil pengesanan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) serta pemantauan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan migran yang masih menggunakan laluan laut bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Menurutnya, sekitar jam 9.30 malam, aset ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

“Bot berkenaan telah diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, tekong bertindak memecut laju dalam cubaan meloloskan diri daripada pemeriksaan.

“Anggota Maritim Malaysia kemudiannya melaksanakan tindakan mengejar sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut,” katanya.

Salehuddin berkata, penggunaan bot pancung melalui laluan laut yang sukar dikesan dipercayai antara modus operandi digunakan sindiket bagi mengelakkan pengesanan dan pemeriksaan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 33 individu berusia antara 13 hingga 58 tahun, terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita, kesemuanya warganegara Indonesia.

“Semakan awal mendapati kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia dan dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” ujarnya.

Tambahnya, semua pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk seorang tekong, bersama sebuah bot pancung yang ditahan dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Pemantauan dan rondaan berterusan turut dipertingkatkan khususnya di kawasan hotspot bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh sempadan perairan negara dapat dibendung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here