Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Biodiesel B10 di Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, Putrajaya. foto IQABL BASRI, 11 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan mahu memastikan hanya kenderaan diesel yang boleh menerima biodiesel sawit lebih 10 peratus dijual di Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia perlu meningkatkan kadar adunan lebih tinggi pada masa hadapan bagi mengukuhkan permintaan domestik minyak sawit.

“Saya mengharapkan program biodiesel ini diberikan perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang sedang dirangka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada ketika ini.

“Saya menyeru agar pengeluar kenderaan dan OEM (atau pengeluar peralatan asal) bekerjasama dengan pihak Kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Program B10 ini termasuk sebarang program biodiesel pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program B10 di sektor Pengangkutan di sini hari ini.

MGF11122018_Pelancaran Program Biodiesel B10 di Sektor Pengangkutan_01
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memandu uji kereta yang menggunakan sistem bahan api biodiesel B10 pada Majlis Pelancaran Biodiesel B10 di Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, Putrajaya. foto IQABL BASRI, 11 DISEMBER 2018

Dr Mahathir mahu semua pihak bersedia untuk meningkatkan kepada B20, iaitu 20 peratus adunan biodiesel sawit dengan 80 peratus diesel fosil menjelang 2020.

Katanya, program biodiesel ini amat penting bagi negara kerana pokok sawit merupakan ‘golden crop‘ (tanaman emas) negara yang mampu dan menjana ekonomi negara sejak sekian lama.

Tambahnya, penggunaan biodiesel sawit akan memberi impak yang positif terhadap industri sawit melalui pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya menstabilkan harga minyak
sawit.

“Melalui usaha ini, pekebun kecil sawit seramai 650,000 akan terus menikmati harga sawit yang lebih stabil dan meningkatkan pendapatan.

“Program Biodiesel negara juga akan membantu negara mencapai objektif ‘low carbon‘ mobiliti seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11),” ujarnya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Sementara itu, Teresa dalam ucapannya berkata, kerajaan akan memperluaskan penggunaan diesel B7 kepada sektor industri secara mandatori bermula Julai tahun depan.

Katanya, program B7 bagi sektor industri dan B10 bagi sektor pengangkutan telah ditangguhkan pada 2016 namun kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan program berkenaan memandangkan impak positif kepada ekonomi negara, industri minyak sawit dan alam sekitar.

“Langkah ini akan menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran 761,000 tan minyak sawit mentah serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 2.2 juta tan setiap tahun,” tambahnya. – MalaysiaGazette