KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyaman AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd (AirAsia X) sebanyak RM36.11 juta kerana kegagalan syarikat penerbangan tambang murah itu melunaskan cukai lapangan terbang.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap unit milik penuh syarikat AirAsia Bhd (AAB) bagi menuntut caj perkhidmatan penumpang (PSC) berjumlah RM9.4 juta yang belum dibayar.

Manakala AirAsia X dalam notis berasingan berkata, syarikat bersekutu AirAsia itu juga menerima writ saman sebanyak RM26.72 juta oleh MASSB untuk tunggakan cukai PSC.

AirAsia dan AirAsia X berkata, pihaknya akan mempertahankan prosiding ini kerana tuntutan tersebut dibuat tanpa alasan dan tidak munasabah.

PSC dibayar oleh penumpang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan setelah pembelian tiket. Caj itu kemudian diserahkan kepada MAHN selepas proses penerbangan selesai.

Katanya, PSC ditetapkan sebanyak RM73 bagi setiap penumpang mulai 1 Januari lalu dan kedua-dua syarikat penerbangan itu hanya mengutip sebanyak RM50 bagi setiap penumpang.

Tetapi, MAHB kini menuntut syarikat-syarikat penerbangan ini membayar perbezaan sebanyak RM23 bagi setiap penumpang mulai bulan Julai.

“Sedangkan AirAsia dan AirAsia X tidak mengutip jumlah itu dan menolak untuk membuat kutipan itu.

“MASSB menegaskan klia2 perlu mengenakan kadar yang sama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sedangkan kami percaya dan telah menemui MASSB berkali-kali bagi menyatakan klia2 adalah lapangan terbang kos rendah dan caj yang dikenakan harus mencerminkan tahap perkhidmatan yang disediakan.

“Kami mempertahankan bahawa kami tidak diwajibkan untuk mengutip PSC yang sama untuk penumpang yang berlepas dari klia2 dan tidak akan melakukannya demi pihak berkepentingan dalam industri penerbangan dan pelancongan,” kata kedua-dua syarikat itu.

Sebaliknya, AirAsia dan AirAsia X akan membuat tuntutan balas terhadap pengendali lapangan terbang itu berhubung infrastruktur dan keadaan lapangan terbang dan operasi yang termasuk kecacatan apron utama, penutupan landasan secara rawak, kerosakan pesawat dan saluran paip petrol pecah.

“Kami percaya tuntutan-tuntutan ini jauh melebihi daripada tuntutan yang dibuat oleh MASSB. telah cuba tetapi gagal dalam banyak keadaan yang melibatkan MASSB mengenai isu-isu ini tetapi malangnya MASSB telah memutuskan untuk membawa isu-isu ini ke arena awam dengan memulakan tindakan undang-undang,” kata dua syarikat penerbangan murah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast