Temubual bersama penyanyi, Zamani Slam di Studio MalaysiaGazette, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zamani menubuhkan syarikat pengurusannya sendiri iaitu ZIME Production bagi mengendalikan karier seninya.

Jelasnya, penubuhan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan salah faham apabila terdapat beberapa laman Instagram menggunakan namanya menjual barangan premium, konon dikeluarkan syarikatnya.

“Kenyataan rasmi berhubung beberapa perkara ini perlu dilakukan supaya tidak timbul lagi salah faham pada masa depan.

“Kerjaya, jadual dan pengurusan saya buat masa ini diuruskan ZIME Production sepenuhnya. Operasi syarikat ini dikendalikan bersama-sama ahli keluarga, selain mengekalkan Aalan Ahmad sebagai pengurus.

“Sebarang urusan termasuk tawaran persembahan dan perkara berkaitan boleh dibuat dengan berhubung terus ZIME Production atau Aalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyanyi itu berkata, ZIME Production juga akan mengendalikan semua urusan berkaitan produk yang dihasilkan di bawah jenama Zamani.

“Saya tidak melantik pihak ketiga untuk membuat, mencetak atau menjual produk yang menggunakan nama saya,” katanya.

Sekitar awal bulan lalu, bintang Gegar Vaganza musim lima (GV5) itu pernah mengadakan sidang media berhubung kekeliruan mengenai pengurusnya yang sebenar.

Isu timbul apabila pengurus yang sudah bersamanya sejak era Slam, Johan Aziz dan pengurus baharu, Aalan mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai status penyertaannya dalam program itu.

Sementara itu, Zamani berkata, pihak pengurusannya juga kini dalam proses menubuhkan kelab peminat rasmi, Zamani Fan Club yang akan diumumkan menerusi Facebook: zamani slam official fanpage dan Instagram: @zamanislam_official. – MalaysiaGazette