KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyanggah sikap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang menyamakan pemungkiran janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, Rasullallah tidak pernah memungkiri janji dan ia merupakan hakikat yang harus diterima.
“Sedarlah bahawa Nabi SAW membuat apa jua tindakan dan keputusan bersandarkan wahyu, sedangkan manusia membuat tindakan dan keputusan bersandarkan nafsu,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.
Asyraf menggesa agar Khalid lebih beradab serta tidak terlalu rakus berpolitik hingga mengheret Nabi Muhammad SAW dalam menutupi kelemahan diri untuk terus menipu rakyat.
Katanya lagi, perkara itu dilarang sendiri oleh Rasulallah di dalam hadith apabila menyatakan agar tidak mengaitkan sesuatu tindakan dan ijtihad atas nama dan hukum Allah.
Perkara itu, katanya, jelas diriwayatkan dalam satu insiden apabila nabi melarang panglima perang bernama Buraidah untuk tidak menjatuhkan (menamakan) hukum Allah ke atas musuhnya apabila baginda mengepung mereka.
Asyraf memuatnaik status tersebut merujuk kepada Khalid menerusi ucapannya pada Konvensyen Parti Amanah Negara (PAN) hari ini mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Menurut Khalid kegagalan menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.
Dalam pada itu, Asyraf menggesa agar pimpinan PH merenung dan membezakan antara hukum Allah dengan tidakan sebagaimana yang ditunjukkan oleh panglima perang itu.
Ujarnya, Rasulallah melarang untuk dinamakan hukum orang-orang yang berijtihad dengan hukum Allah. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/16/bukan-sengaja-gagal-tunai-janji-manifesto-khalid/