QATAR – Penganjur tuan rumah Piala Dunia Qatar 2022 hari ini memperkenalkan reka bentuk stadium yang akan menjadi lokasi berlangsungnya perlawanan akhir temasya empat tahun sekali itu.
Stadium baharu Lusail dengan kapasiti 80,000 tempat duduk merupakan venue terbesar Piala Dunia 2022.
Terletak kira kira 15 kilometer dari Doha, stadium berkenaan juga akan menganjurkan perlawanan pembuka tirai Piala Dunia nanti.
Piala Dunia Qatar kali pertama akan berlangsung pada musim sejuk dan membuka tirai pada 21 November 2022.
“Sudah lapan tahun selepas kami menang hak sebagai tuan rumah temasya berprestij dunia itu dan kami menjanjikan yang terbaik kepada dunia,” menurut Setiausaha Agung jawatankuasa tertinggi, Qatar Hassan Al Thawadi.
“Dengan reka bentuk stadium baharu yang menakjubkan ini, kami bangga menyampaikan apa yang dijanjikan tanpa masalah,” katanya.
Selesai temasya Piala Dunia nanti, stadium berkenaan akan ditransformasikan sebagai Dewan serbaguna komuniti Arab.
“Stadium baharu adalah simbol masa depan kami kerana terletak di tengah tengah bandaraya serba baharu,” ujarnya.
Namun, wujud kebimbangan tentang layanan terhadap pekerja asing yang terlibat dalam pembinaan insfrastruktur stadium itu.
Ini selepas organisasi hak asasi manusia mengecam cara layanan Qatar terhadap tenaga buruh yang terlibat pembangunan perkampungan stadium berkenaan.
Menurut Amnesty International, lebih ratusan pekerja asing yang bekerja di bandaraya itu tidak dibayar gaji untuk beberapa bulan.- MalaysiaGazette