KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menolak pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Johor selepas ia dipertikaikan.
Beliau percaya PKR perlu meminda perlembagaannya berhubung fasal pemilihan dalam pelantikan tersebut.
“Pemilihan saya sebagai Pengerusi MPN Johor turut dipertikaikan.
“Jadi adalah wajar saya meletakkan jawatan. Pengerusi baru perlulah dipilih secara lebih demokratik dan telus selaras dengan prinsip perjuangan reformasi Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya membidas parti itu yang didakwa mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri.
Hassan bagaimanapun akan kekal menyokong kerajaan sedia ada meskipun menolak jawatan sebagai pengerusi PKR Johor.
“Saya dengan rasminya menolak perlantikan (pengerusi PKR negeri) tersebut berkuatkuasa hari ini.
“Saya kekal sebagai ahli biasa Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Pasir Gudang (Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat)
“Saya akan menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen.
“Saya juga akan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan bakal Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Naib Presiden PKR.
Bagaimanapun Hassan diminta menarik keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pelantikan Hassan adalah sah dan selaras dengan Fasal 21.8 Perlembagaan parti dan tidak patut dipertikaikan oleh mana-mana pihak, lapor Bernama.
Menurut beliau, presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.- MalaysiaGazette