Ram Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata, unjuran inflasi bagi 2019 masih bergantung kepada pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api bersasar pada suku kedua tahun depan kerana butiran terperinci mengenai pelaksanaannya, seperti mekanisme pengagihan, masih belum diperoleh.
Berdasarkan anggaran kami, setiap pergerakan US$5 pada harga purata minyak mentah Brent akan mengubah inflasi utama dengan kira-kira 0.3 mata peratusan pada 2019, tanpa sebarang kesan pusingan kedua terhadap harga,” kata Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong dalam satu kenyataan hari ini.
RAM Ratings juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus pada 2019, berdasarkan keperluan untuk mengimbangi tekanan aliran keluar modal dan sokongan ke atas pertumbuhan.
“Walaupun inflasi utama dijangkakan meningkat tahun depan, kadar peningkatan masih tidak jelas, berbanding risiko penurunan pertumbuhan daripada penyepaduan fiskal yang berterusan, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdagangan AS-China dan ketidakpastian Brexit,” kata Fong.
Sementara itu, RAM Ratings berkata, kadar inflasi utama Malaysia berkurangan kepada 0.3 peratus pada November berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh kesan penurunan harga asas harga bahan api runcit.
“Berdasarkan inflasi makanan yang rendah dan tekanan deflasi daripada pengenalan semula subsidi bahan api dalam tempoh berbaki 2018, inflasi keseluruhan dijangkakan pada purata 1.0 peratus pada 2018, berbanding 3.7 peratus pada 2017,” katanya. – MalaysiaGazette