KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak berkuasa mengerahkan anggota keselamatan dan merayu agar rakyat supaya turut bekerjasama memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Kami juga mahu siasatan yang menyeluruh, adil dan tindakan pantas oleh pihak berwajib. Kita tidak mahu sehingga rakyat mengambil tindakan di luar jangkaan akibat marah dengan kejadian ini,” kata kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut beliau, ia menjadi tanggungjawab seluruh warga negara untuk membantu polis memberkas pembunuh Muhamad Adib.
Menurut Nadzim, Kejadian yang berlaku hampir sebulan lepas masih dalam siasatan polis namun kini, Muhammad Adib telah meninggal dunia tanpa sebarang berita mengenai pembunuhnya yang dipercayai masih bebas.
“Kami mendapat panggilan dari rakyat yang marah atas kejadian ini,” katanya.
Mengakui pemergian Muhammad Adib satu kehilangan besar kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Nadzim mahu semua pihak agar bersabar dan menghormati keluarga arwah.
“Walaupun kesal dengan apa yang berlaku, kami memohon semua pihak memberi kerjasama dan ruang agar pihak Polis boleh menjalankan tugas mereka,” katanya.
Nadzim turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Muhammad Adib dan memohon agar seluruh rakyat Malaysia dan Kerajaan agar meringankan beban dan membantu dalam urusan keluarganya.
Pada 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya.- MalaysiaGazette