PETALING JAYA – Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat pada esok (Rabu) untuk membincangkan hala tuju presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sinchew Daily melaporkan, selain membincangkan sama ada Ahmad Zahid perlu bercuti sementara waktu, agenda mesyuarat yang lain termasuk membincangkan kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak diajak untuk kembali ke barisan kepimpinan UMNO.
Menurut sumber, ada suara yang menyokong Najib untuk dikembalikan jika Ahmad Zahid diminta untuk bercuti.
“Jika Ahmad Zahid bercuti, sepatunya beliau diganti oleh timbalan presiden iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan, tetapi parti lebih senang jika Najib dikembalikan.
“Mohamad Hasan juga dilihat sebagai orang kem Tengku Razaleigh Hamzah,” kata sumber UMNO sambil menjelaskan bahawa Najib perlu melalui masa yang panjang untuk ditetapkan bersalah atau sebaliknya di mahkamah.
Kepimpinan Najib dilaporkan perlu untuk meneraju UMNO dalam krisis yang berlaku apabila lebih ramai wakil rakyat dikatakan berkemungkinan meninggalkan parti itu dalam tempoh dua minggu akan datang.
“Pada akhirnya, mungkin hanya akan tinggal 20 Ahli Parlimen dalam UMNO, kebanyakannya merupakan bekas menteri.
“Ramai wakil rakyat memilih untuk meninggal parti mungkin kerana kekurangan sumber kewangan untuk terus bertahan,” kata sumber.
Dalam perkembangan berkaitan, tindakan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang menerima bekas pemimpin UMNO telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam Pakatan Harapan dan isu itu akan dibincangkan dalam majlis presiden pakatan politik itu. – MalaysiaGazette