KOTA BHARU – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi cadangannya agar UMNO dibubarkan dan anggotanya menyertai PAS kerana parti itu tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik negara.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata ini merupakan masa terbaik untuk anggota UMNO keluar parti memandangkan kedudukan parti itu semakin goyah berikutan tindakan beberapa anggota Parlimennya keluar parti.
“Saya dahulu dah komen lepas Pilihan Raya Umum ke-14, saya cadangkan UMNO dibubarkan dan semua orang (anggota) UMNO masuk PAS sebab pada pandangan kita UMNO tak ada masa depan dari segi politiknya dan tempohnya sudah berakhir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.- BERNAMA