Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Para penyokong dan ahli UMNO di semua peringkat diminta bersama-sama bersatu dan mendukung kepimpinan parti itu di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menyifatkan serah tugas dan memangku tugas-tugas Presiden kepada Mohamad sebagai satu permulaan kepada reformasi semula UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengharapkan orang Melayu bersatu dan terus memberi bantuan, pandangan dan kritikan membina bagi kelangsungan parti serta agenda memajukan bangsa Melayu.

“Setelah lebih enam bulan menempuhi kekalahan dan pelbagai rintangan, diharapkan agenda Islah parti akan terus subur di bawah kepimpinan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada Timbalannya berkuatkuasa serta-merta.

Sesungguhnya UMNO akan sentiasa berterima kasih atas tindakan berjiwa besar ini. Segala jasa baik dan amal budi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dikenang jua.

“Terima kasih yang mendalam juga atas khidmat bakti yang dicurahkan dan pengorbanan tanpa lelah serta ikhlas kepada UMNO. Semoga segala yang demikian diperkirakan sebagai amal soleh hendaknya,” tambah Khaled lagi. – MalaysiaGazette