Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada timbalannya sebagai sebagai berjiwa besar dan prihatin kepada suara akar umbi.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mengharapkan akar umbi dan pimpinan tertinggi parti Melayu itu dapat menghentikan segala polemik kepimpinan selepas keputusan itu dibuat semalam.

“Seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan UMNO di semua peringkat dari atas sehinggalah ke peringkat akar umbi dapat kembali memperkukuhkan saf dan memfokus kepada agenda pembaharuan dan pemerkasaan parti.

“Sebagaimana amanat beliau, saya juga mengharapkan agar segala polemik berkaitan dengan kepimpinan dapat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan, yang dimuat naik di akaun Facebooknya, semalam.

Beliau mengulas langkah Ahmad Zahid semalam yang menyerahkan tugasnya kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan memangku tugas-tugas presiden serta-merta.

Ahmad Zahid berkata, beliau merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan salah laku di mahkamah yang dihadapinya kini.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu membuat keputusan itu demi kepentingan dan menyelamatkan situasi genting yang dihadapi oleh pimpinan di semua peringkat terutama ahli-ahli Parlimen dan ADUN serta UMNO Bahagian.

Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid di atas tindakannya itu serta memberi kepercayaan penuh kepada timbalannya untuk mengemudi dan memulihkan UMNO.

“Sesungguhnya rakyat dan ummah keseluruhannya amat menanti dan mendambakan agar UMNO benar-benar berubah melalui proses muhasabah dan pengislahan untuk kembali bangkit mempertahankan nasib rakyat, martabat agama dan maruah bangsa.

“Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas segala sumbangan beliau kepada wadah perjuangan UMNO selama ini. Moga Allah memberkati dan merahmati segala sumbangan yang dicurahkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast