Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sedih apabila Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) dihentikan bermula tahun hadapan kerana skim tersebut menurut beliau diwujudkan bagi menggalakkan simpanan peribadi untuk ibu bapa muda supaya boleh digunakan apabila anak-anak tersebut mahu melanjutkan pelajaran ke universiti.

Katanya, ADAM50 adalah satu lagi insentif baik untuk rakyat yang telah menjadi mangsa kerajaan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan dengan alasan negara menanggung hutang RM1 trilion.

Di bawah ADAM50 dana tabungan permulaan sebanyak RM200 diberikan secara percuma kepada semua bayi yang dilahirkan dalam tahun 2018 menerusi unit Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia 3 (yang dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham 1Malaysia) untuk kaum bukan bumiputera.

ADAM50 dilancarkan pada 1 Januari lalu oleh beliau.

“Bila dah ada akaun ASB atau AS1M, ibubapa boleh menyumbang berdikit-dikit dan lama-kelamaan ianya akan bertambah sehingga cukup untuk menampung keperluan kewangan apabila anak mereka masuk universiti,” katanya di dalam hantaran terbaharu di laman Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, skim ADAM50 membolehkan wang permulaan sebanyak RM200 itu akan berganda sekitar RM587 apabila bayi berkenaan telah mencapai usia 18 tahun.

“Walaupun ibu bapa tidak tambah langsung, wang permulaan RM200 ini akan menjadi sekitar RM587, tapi kalau tambah RM10 sebulan ia akan meningkat kepada RM4,000 manakala RM50 sebulan akan jadi RM20,000 dan kalau RM100 akan jadi RM40,000 apabila umur anak ini cukup 18 tahun.

“Kalau tak suka nama ADAM50, boleh jenamakan semula kepada GuanEng50. Maszlee50 ke atau MatSabu50 pun boleh. Janganlah mansuh,” katanya lagi.

Hari ini, PNB selaku pengurus dana ADAM50 mengumumkan penamatan skim tersebut pada hujung tahun ini dengan alasan tidak mendapat respon yang baik di samping tiada lagi pertambahan dana oleh kerajaan untuk membiayai skim berkenaan ekoran kedudukan kewangan yang ketat.

Skim tersebut sepatutnya berakhir pada tahun 2022.

Bagi bayi-bayi yang dilahirkan sepanjang 2018 tetapi masih belum berdaftar dengan ADAM50, tempoh pendaftaran dilanjutkan sehingga Mac depan.-MalaysiaGazette