KUALA LUMPUR – Di kala UMNO ditinggalkan oleh satu persatu parti komponen Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun masih ada parti politik yang setia menyokongnya termasuk Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
Timbalan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, walaupun KIMMA bukan parti komponen BN, namun ia sanggup bekerjasama dengan UMNO untuk menjadi pembangkang proaktif
“KIMMA WPKL ingin menjadi satu-satunya parti politik kaum India Muslim di Malaysia yang konsisten bekerjasama dengan UMNO dan parti komponen BN menjadi pembangkang berkualiti membuat semak dan imbang kepada kerajaan baharu hari ini.
“Kerjasama antara UMNO dan KIMMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) perlu ditingkatkan bagi mewujudkan sokongan dan perpaduan antara satu sama lain,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Badan Perhubungan KIMMA WPKL hari ini.
Hadir sama Ketua Cawangan UMNO Jalan Elton yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang, Jailani Abdul Aziz.
Dalam majlis sama Jailani diberi Pengiktirafan Kehormat atas tugas-tugas khasnya dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) India Muslim sebelum ini.
Pasca PRU14 sejak 9 Mei lalu menyaksikan banyak parti komponen BN mula beralih arah dan memilih untuk bersendirian malah tidak kurang pula menubuhkan gabungan sendiri khususnya di Sarawak.
Antaranya ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang mengumumkan keluar daripada perikatan BN pada 12 Jun lalu dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Langkah keluar BN juga turut diikuti oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada 23 Jun lalu selepas gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya dalam PRU14.
Zainal Abidin juga berkata, KIMMA perlu berkerja keras untuk menambat hati pengundi-pengundi India Muslim untuk mendapat sokongan mereka bagi menghadapi PRU15 akan datang nanti.
“Usaha KIMMA WPKL membantu mereka yang kurang berkemampuan dan memberi ruang serta peluang membuka perniagaan antara langkah yang harus dipuji.
“Diharapkan usaha KIMMA menyantuni rakyat selama ini dapat membantu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN khususnya masyarakat India Muslim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette