Foto Laman Rasmi Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu Football Club (TFC) memilih Vietnam bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan di sana pada bulan depan.

TFC dalam satu kenyataan berkata, jelajah pramusim itu sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang dijangka lebih sengit dan mencabar.

Skuad Penyu itu dijadualkan berada di sana bermula 13 Januari hingga 18 Januari depan.

“Semestinya kita ingin melakukan persediaan rapi buat pasukan kita untuk musim hadapan, dan kelab-kelab di Vietnam dilihat adalah antara yang terbaik di Asia untuk kita menguji secara awal pemain-pemain kita ini.

“Pasukan TFC akan bertemu Ho Chi Minh FC, seterusnya bakal bertemu juara National Cup Vietnam tahun ini, Binh Duong Football Club, dan sebagai sesi penamat bakal bertemu Troung Giang FC iaitu salah sebuah kelab amatur di Vietnam,” kata kenyataan daripada laman facebook rasmi Terengganu FC.

Selepas kehilangan sembilan orang pemain termasuk empat tonggak utama yang beraksi bersama mereka musim 2018, Terengganu FC mengorak langkah apabila menandatangani 10 orang pemain baharu yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan.

Turut terpilih dalam senarai pemain baharu tersebut adalah bekas pemain tengah Felda United, Ahmad Syamim Yahya serta pemain sayap Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli.

Mungkin senarai pemain yang menyarung jersi TFC bagi musim depan itu adalah bukan nama besar dalam kancah bola sepak tanah air, namun bagi ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, beliau mempunyai alasan tersendiri.

Menurut laman web rasmi TFC,  Irfan Bakti menjelaskan beliau lebih gemar untuk merekrut pemain yang tidak terkenal berbanding pemain yang mempunyai nama besar serta menerima bayaran gaji yang tinggi.

Irfan menyatakan beliau lebih cenderung untuk melahirkan pemain yang dirasakannya mampu untuk digilap bagi menjadi seorang pemain bola sepak yang baik. – MalaysiaGazette