BANTEN- Nyaring suara seorang bayi memecah keheningan pusat penempatan sementara tsunami di Pandeglang dekat sini.
Bayi lelaki yang baru berusia beberapa bulan itu masih belum diketahui namanya, sama seperti nasib ibu dan bapanya yang masih belum diketahui sama ada masih hidup atau telah pergi.
Bayi comel yang dibungkus dengan kain batik itu hanya mengalami cedera ringan merupakan salah seorang mangsa yang terselamat selepas tsunami membadai perkampungannya di Banten.
Menurut salah seorang penghuni di penempatan sementara yang membantu menjaga bayi tersebut, Esra, bayi berkenaan menangis kerana kelaparan.
“Dia lapar dan mahu menyusu sebab itulah dia tidak berhenti menangis.
“Tadi, ada seorang petugas datang memujuknya tetapi sekarang menangis semula,” katanya.
Tidak lama kemudian, ada seorang penghuni yang mendakwa mengenali bayi tersebut.
“Ini anak Sinaga, biar saya bantu mencari keluarganya yang lain,” kata wanita tersebut.
Kawasan penempatan berkenaan terus dikunjungi pasukan mencari dan menyelamat yang membawa beg-beg mayat mangsa tsunami.
Angka rasmi setakat ini sejumlah 281 orang disahkan telah meninggal dunia. – Agensi