KUALA LUMPUR – Umat Islam boleh mengucapkan selamat menyambut sesuatu perayaan kepada penganut agama lain.
Bagaimanapun, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.
Katanya, adalah memadai sekadar mengucapkan ‘selamat hari raya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya.
“Hal ini lebih dituntut jika semasa hari raya Islam mereka mengucapkannya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Namun, tambah Mohd Asri, seorang muslim tidak boleh merayakan perayaan agama lain kerana perayaan agama merupakan upacara agama.
Malah katanya, bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hari raya umat Islam.
“Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain,” tambah beliau.
Mohd Asri berkata, apa yang penting dalam dunia semasa yang mana Islam sering dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, penganutnya patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik.
Dalam masa yang sama, katanya, umat Islam mesti menjaga benteng akidah mereka. – MalaysiaGazette