Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – UMNO jauh lebih baik berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Itu pendapat Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menurutnya, UMNO mempunyai sistem pentadbiran yang bersistematik dan pimpinan yang tersusun daripada peringkat.

“Jauh berbeza di mana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian Bersatu diadakan hanya diadakan di peringkat pusat sahaja. Ini bukti UMNO mempunyai kekuatan lebih baik berbanding Bersatu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, biar pun Bersatu mendakwa mereka adalah parti orang Melayu dan bumiputera namun UMNO pasti tetap akan menjadi pilihan utama walaupun bukan lagi sebuah kerajaankecuali di Pahang dan Perlis.

“Dan kita yakin Bersatu tidak boleh menggantikan UMNO. Penghijrahan keluar beberapa Ahli Parlimen dan ADUN UMNO tidak boleh dijadikan ukuran atau mengatakan UMNO sudah lumpuh kerana tindakan mereka ini tidak disertai bersama jumlah ahli yang ramai melainkan beberapa penyokong tegar mereka.

“Malahan kehilangan mereka juga  tidak menyebabkan UMNO di kawasan berkenaan terbubar sebaliknya apabila mereka bertindak meninggalkan parti ia dengan mudah diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat,” katanya lagi.

Kepada pimpinan Pas, katanya, usah bimbang kerana apa yang berlaku pada UMNO adalah lebih kurang sama ketika berlakunya penghijrahan keluar pimpinan serta ahli Pas apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) suatu ketika dahulu.

“Biarpun Amanah wujud namun Pas tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat UMNO meninggalkan UMNO kita tetap yakin UMNO tetap sebagaimana biasa.

“UMNO akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat, dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast