KUALA LUMPUR – Spekulasi masa depan bekas pemain pertahanan PKNS FC kelahiran Australia, Zac Anderson terjawab apabila dia sah menyarung jersi Perak musim depan.
Anderson yang berusia 27 tahun menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini.
Pafa turut mengikat penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim untuk musim depan manakala khabar angin pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli menyertai The Bos Gaurus tidak menjadi kenyataan.
Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata, kemasukan Zac diharap dapat menguatkan benteng pertahanan pasukan.
Katanya, pemain itu merupakan pilihan tepat untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti selepas mengharungi saingan musim lalu.
“Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim depan. Zac memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.
“Saya dengan Ketua Jurulatih, Mehmet Durakovic sudah berbincang dengan Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai keperluan untuk menguatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk menandatangani Zac,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai kekosongan satu lagi pemain import, Adly Shah berkata, Pafa enggan bertindak terburu-buru demi mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.
Mengenai dakwaan kononnya Perak mahu mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara, beliau berkata, dakwaan itu tidak benar.
“Begitu juga dakwaan ramai pemain Perak akan berhijrah juga tidak benar sama sekali malah penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim saya sahkan akan kekal dalam pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette