Husam Musa

KOTA BHARU – Mana-mana janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang belum ditunaikan bukan merupakan satu penipuan.

Pengerusi PH Kelantan Husam Musa berkata malah tuduhan ‘menipu’ rakyat yang dilontarkan oleh segelintir pihak terhadap kerajaan persekutuan ketika ini adalah tidak tepat.

“Rumah saya dah tiga hari tak ada air tapi saya tak pernah kata kerajaan Kelantan menipu saya. Tak semestinya apa yang kerajaan (Persekutuan) belum laksanakan itu satu penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Jawatankuasa Belia, Sukan, Seni dan Budaya yang ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan bagi membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pejabat MOTAC Kelantan hari ini.

Hadir sama Pengarah MOTAC Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Kelantan Hafiz Hazim.

Husam mengulas dakwaan Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dilaporkan berkata rakyat kini diberi peluang menilai janji PH yang belum ditunaikan selain kemelut dalaman gabungan parti dalam komponen berkenaan.

Dalam pada itu, Husam berkata Mohd Amar sepatutnya meramalkan nasib parti sendiri pada PRU15 dan tidak hanya membuat ramalan kepada parti-parti lain.

“Dia (Mohd Amar) ramal PH tak akan jadi kerajaan Persekutuan (selepas PRU15) tapi dalam masa yang sama, adakah PAS (yang) akan jadi kerajaan (Persekutuan). Tidak semestinya (PAS) walaupun (ketika itu) PH tidak lagi menjadi kerajaan.- BERNAMA