Nik Omar Nik Aziz. foto AFIQ RAZALI, 27 DISEMBER 2018.
Nik Omar Nik Aziz. foto AFIQ RAZALI, 27 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nik Omar Nik Abdul Aziz memberitahu Chempaka dekat di hatinya kerana memiliki beberapa keistimewaan tersendiri.

Beliau yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, selain namanya yang comel, ia kerana tempat peninggalan allahyarham bapanya yang juga bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah menurutnya, YADIM mempunyai sejarah kerana Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan pernah menjadi pemegang amanah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

“Nama Chempaka pun comel dan yang kedua, tempat almarhum ayahanda tok guru (Nik Aziz) dan YADIM sendiri ada sejarah kerana almarhum adalah pemegang amanah YADIM.

“Jadi, ia juga mempunyai motivasi yang tinggi pada saya untuk meneruskan legasi di YADIM,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Nik Omar menjadi calon Pakatan Harapan namun tewas dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Chempaka kepada calon Pas dan Barisan Nasional.

Namun kemunculan pertama anak kedua Nik Abdul Aziz yang sebelum itu merupakan ahli Pas menjadi perhatian dan fenomena nasional ketika berkempen di seluruh negara.

Pada 20 Disember lalu, beliau memulakan tugas sebagai  Yang Dipertua YADIM yang ke-13 sejak badan dakwah itu ditubuhkan pada tahun 1974 selepas dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ditanya peranan baharunya di Putrajaya akan membuatkan Chempaka semakin dilupakan, Nik Omar yang lembut dalam tutur katanya menafikan tanggapan itu.

“Bukan hanya Chempaka (dilupakan) tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama  dan bangsa. Insya-Allah saya akan memberi khidmat yang baik,” katanya tersenyum. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast