PUTRAJAYA – Orang Melayu di negara ini seharusnya bersyukur apabila UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana dengan kekalahan itu pemimpin UMNO tidak lagi mempunyai kuasa untuk menutup segala kesalahan dan penipuan mereka.
Kata beliau, sesungguhnya kini kebenaran telah menjelma dan kebatilan telah lenyap.
“UMNO masih mendendangkan lagu duka nestapa kononnya orang Melayu sudah hilang kuasa di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah Pakatan Harapan menang pilihanraya, orang Melayu tidak hilang kuasa. Yang hilang kuasa ialah UMNO.
“Inilah yang paling ditakuti oleh UMNO. Apabila hilang kuasa, segala kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Srikandi dan Armada sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Perhimpunan yang bermula hari ini hingga Ahad berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Lebih 1,000 perwakilan hadir melibatkan 99 bahagian Srikandi manakala 115 pula adalah Armada.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan Bersatu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan jika terbukti pemimpin UMNO bersalah, biarlah mahkamah yang menentukan nasib mereka.
Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan biarpun Bersatu tidak menggunakan slogan Islam namun parti itu melaksanakan ajaran Islam.
“Kita mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam.
“Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita.
“Justeru, saya ingin mengajak umat Islam supaya bersama-sama Bersatu dan kerajaan Pakatan Harapan dalam perjuangan membela umat Islam di negara ini.
“Bersatu bersedia untuk menerima pandangan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam membentuk acuan Malaysia Baharu,” katanya.
Muhyiddin turut memberitahu, beliau telah mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil- wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama menyumbang kepada pembangunan ummah di Malaysia. – MalaysiaGazette